Pengenalan Syarikat
Sebelum pembentukan JPT pada tahun 1932, semua kerja yang berkaitan dengan parit dan tali air menjadi tanggungjawab Jabatan Kerja Raya. Ekoran kemerosotan industri timah dan getah pada lewat tahun dua puluhan dan keadaan beras yang menjadi semakin runcing di negara ini, Pesuruhjaya Tinggi British pada waktu itu melantik Jawatankuasa Penanaman Padi pada tahun 1930 untuk menentukan “langkah terbaik yang perlu diambil bagi menggalakkan penanaman padi di Tanah Melayu”.
Jawatankuasa ini telah membuat kajian yang menyeluruh dan menerbitkan laporannya pada tahun 1931. Salah satu saranan utamanya adalah “sebuah Jabatan Parit dan Tali Air hendaklah ditubuhkan untuk Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan penasihat di Negeri-Negeri Melayu Tak Bersekutu, yang akan menyerapkan Cawangan Hidraulik Jabatan Kerja Raya, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu”. Saranan ini telah diterima sebagai sebuah jabatan yang berasingan pada 1hb. Januari 1932.
“Adalah menjadi keperluan yang amat penting untuk kemudahan pengairan – membuka kawasan baru untuk industri padi semakin berkembang – yang memberi dorongan untuk penubuhan Department of Irrigation and Drainage (Jabatan Parit dan Tali Air) atau DID (JPT) sebagaimana yang dikenali ramai.”
Tugas-Tugas JPS
Jabatan ini yang berada di bawah arahan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, selama bertahun-tahun ini telah memikul tanggungjawab yang baru dan tanggungjawab yang diperluaskan. Kini, tugas-tugas JPS merangkumi :
- Pengurusan Lembangan Sungai dan Zon Pantai
- Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi
- Projek Khas
- Pengurusan Banjir
- Saliran Mesra Alam