Latar Belakang

“Adalah menjadi keperluan yang amat penting untuk kemudahan pengairan – membuka kawasan baru untuk industri padi semakin berkembang – yang memberi dorongan untuk penubuhan Department of Irrigation and Drainage (Jabatan Parit dan Tali Air) atau DID (JPT) sebagaimana yang dikenali ramai.”

  • 1930

    Pelantikan Jawatankuasa Penanaman Padi

    Sebelum pembentukan JPT pada tahun 1932, semua kerja yang berkaitan dengan parit dan tali air menjadi tanggungjawab Jabatan Kerja Raya. Ekoran kemerosotan industri timah dan getah pada lewat tahun dua puluhan dan keadaan beras yang menjadi semakin runcing di negara ini, Pesuruhjaya Tinggi British pada waktu itu melantik Jawatankuasa Penanaman Padi pada tahun 1930 untuk menentukan "langkah terbaik yang perlu diambil bagi menggalakkan penanaman padi di Tanah Melayu".

  • 1932

    Penubuhan Jabatan Parit dan Tali Air

    Jawatankuasa ini telah membuat kajian yang menyeluruh dan menerbitkan laporannya pada tahun 1931. Salah satu saranan utamanya adalah "sebuah Jabatan Parit dan Tali Air hendaklah ditubuhkan untuk Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan penasihat di Negeri-Negeri Melayu Tak Bersekutu, yang akan menyerapkan Cawangan Hidraulik Jabatan Kerja Raya, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu". Saranan ini telah diterima sebagai sebuah jabatan yang berasingan pada 1hb. Januari 1932.

  • 1945

    Pemulihan Kerja-kerja Pengairan

    Sewaktu penjajahan semula Tanah Melayu pada tahun 1945, penekanan telah diberikan terhadap pemulihan kerja-kerja pengairan. Dasar Kerajaan telah dibentuk untuk mengurangkan pergantungan negara terhadap bekalan makanan import, dengan penekanan ke arah mampu diri beras, dan semua usaha telah dibuat bagi meningkatkan pengeluaran padi tempatan. Berikutan Kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957, penekanan yang lebih besar diberikan terhadap peningkatan pendapatan dan peluang pekerjaan rakyat miskin luar bandar.

  • 1963

    Penubuhan Jabatan Parit dan Tali Air Negeri di Sabah dan Sarawak

    Berikutan pembentukan Malaysia pada tahun 1963, Jabatan Parit dan Tali Air Negeri tambahan telah ditubuhkan di Sabah dan Sarawak dan ini menambah bilangan Jabatan-jabatan Negeri kepada tiga belas dengan Ibu Pejabat Persekutuan dipertanggungjawabkan dengan hal ehwal parit dan tali air keseluruhan negara ini. Peningkatan yang besar dalam pembangunan selepas tahun 1957 dibayangkan dengan kawasan yang disediakan dengan kemudahan pengairan yang meningkat daripada 205,000 hektar (3,000 hektar dengan kemudahan penanaman dua kali setahun) kepada 332,000 hektar (249,000 hektar dengan kemudahan penanaman dua kali setahun) menjelang akhir tahun 1981

  • Kini

    Kejuruteraan Pinggir Laut

    Sejak tahun 1986, kejuruteraan pinggir laut telah menjadi satu lagi fungsi tambahan JPS. Jabatan ini yang berada di bawah arahan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, selama bertahun-tahun ini telah memikul tanggungjawab yang baru dan tanggungjawab yang diperluaskan. Kini, tugas-tugas JPS merangkumi Pengurusan Lembangan Sungai dan Zon Pantai, Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi, Projek Khas, Pengurusan Banjir dan Saliran Mesra Alam

Bagaimana kami boleh membantu anda ?

Hubungi kami di cawangan JPS berdekatan kawasan anda untuk sebarang masalah ataupun aduan.

Kami di JPS Pahang sangat komited untuk menjaga dan memulihara khazanah alam yang telah dipertanggungjawabkan.

Ir. Roslina Binti Yusop
Pengarah, JPS Pahang