JPS Pahang

Header JPS

Pengurusan Pantai

Latar Belakang
Menyedari kejadian hakisan pantai yang semakin meningkat dan mengancam penduduk pantai serta mengakibatkan kerugian sepanjang garis pantai, Kerajaan telah menjalankan Kajian Hakisan Pantai Kebangsaan dari bulan November 1984 hingga bulan Januari 1986 dan hasil kajian ini menunjukkan bahawa daripada 4,809 kilometer garis pantai negara, kira-kira 29% atau 1,380 kilometer mengalami hakisan. Untuk menangani masalah ini, Kerajaan telah menubuhkan Pusat Kejuruteraan Pantai dalam Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada tahun 1987 untuk melaksanakan rancangan kawalan hakisan pantai di seluruh negara.

Garis pantai Malaysia adalah beraneka daripada teluk berpemandangan indah yang diapit oleh tanjung tinggi berbatu sehinggalah tanah pamah lumpur cetek yang menyempadani hutan bakau. Di pantai timur Semenanjung Malaysia, hasil enapan yang tinggi daripada luahan sungai dan persekitaran ombak yang lebih kuat mewujudkan latar untuk garis pantai teluk berpasir berbentuk cangkuk. Sementara di pantai barat, iklim ombak Selat Melaka yang sederhana membentuk pantai lumpur yang luas dan hutan pantai yang kaya dengan biodiversiti. Bentuk-bentuk yang serupa mencirikan pantai-pantai di Sarawak dan Sabah walaupun kawasan berpasir tertentu adalah sangat rata. Bahan-bahan pantai termasuklah campuran pasir, kelodak, malah kulit kerang dengan tompokan kerikil dan singkapan batuan di sana sini.

Scroll to Top